Saturday, 11 May 2013

GGGE2123 TEKNOLOGI DAN INOVASI DALAM PENDIDIKAN (GAMBAR)

1. Argus II


Menjadi buta adalah sesuatu yang ditakuti oleh semua orang. Penglihatan amat penting bagi manusia kerana ia membantu dalam pembelajaran, melengkapkan tugas harian dan dalam perhubungan. Kehilangan keupayaan untuk melihat akan memberi impak yang kuat dari segi mental dan emosi. Dalam tempoh beberapa tahun lagi, buta mungkin tidak menjadi kebimbangan lagi kerana saintis mula mencipta mata bionik iaitu Argus II. Alat ini terdiri daripada 2 elemen iaitu retina tiruan yang ditanam melalui pembedahan ke dalam mata pesakit; dan sepasang kaca mata dilengkapi dengan kamera yang mengambil gambar dan menghantarnya ke retina tadi untuk pemprosesan imej. Walaupun kos untuk rawatan ini mahal iaitu sebanyak $150 000, ia memberi jaminan kepada pesakit untuk melihat kembali. Kini rawatan ini terdapat di 7 hospital di 5 negeri dalam Amerika Syarikat iaitu New York, Pennsylvania, Texas, Maryland dan California.

2. miniME

Dengan kemajuan teknologi sekarang ini, pelbagai bidang telah ditingkatkan dan diberi nafas baru dari segi pengurusan tugas harian. Bidang perubatan tidak melepaskan peluang menggunakan kemudahan ini dalam membantu meningkatkan taraf kesihatan pesakit. miniMe bakal digunakan dalam sektor perubatan kerana fungsinya yang amat berguna kepada pekerja sektor ini. Alat ini boleh memeriksa jantung melalui elektrokardiografi (EKG), tekanan darah, kadar nadi, suhu badan, paras gula dalam darah dan juga paras kolesterol dalam darah. Segala data yang diperolehi akan dihantar ke alat mudah alih, komputer dan pelbagai alat teknologi lain bagi membantu dalam pencapaian maklumat pesakit.

3. Intelliject 

Alahan yang teruk boleh membawa maut kepada si pesakit sama ada dari makanan, ubatan, atau gigitan haiwan. Pesakit akan mengalami masalah untuk melakukan aktiviti harian kerana mereka perlu membawa ubat alahan ke mana sahaja mereka pergi. Eric dan Evan telah mencipta Intelliject, sejenis alat yang membantu dalam pemberian ubat kepada pesakit yang mempunyai alahan. Dengan rekaannya yang kecil dan bersaiz kad kredit, ia senang dibawa ke mana sahaja. Ia dilengkapi dengan jarum yang boleh ditarik balik untuk mengelak kecederaan.

4. Signos Portable Ultrasound

Alat pengimejan mudah alih sudah semestinya menjadi pilihan dalam sesebuah institusi kesihatan. Dengan saiz sebesar Blackberry, ia mudah dibawa ke mana sahaja untuk digunakan dalam pelbagai situasi. Jika sebelum ini pesakit perlu dihantar ke unit pengimejan untuk melihat keadaan dalam tubuh pesakit, kini tugas tersebut boleh dilakukan di sebelah katil pesakit dan keputusan boleh diperoleh dengan segera. Alat ini membantu dalam mendiagnos penyakit pesakit dan membantu merancang dalam jagarawatan.

5. Oaze Hair Beam

Alat ini digunakan untuk merawat masalah keguguran rambut disebabkan oleh genetik dan peningkatan usia. Menggunakan kaedah laser, ia menggalakkan pertumbuhan rambut pesakit dan dengan beberapa kali rawatan, rambut pesakit akan pulih seperti biasa. Rawatan laser menjadi pilihan kerana pesakit boleh mengelak dari pembedahan yang bakal memberi pelbagai komplikasi.

6. VeinViewer

Ujian darah amat penting untuk mengenalpasti penyakit dan mengetahui keadaan pesakit. Jangkitan-jangkitan seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan hepatitis akan dapat dikenalpasti dan dirawat lebih awal melalui ujian ini. Dengan adanya VeinViewer ini, proses pengambilan darah akan menjadi lebih mudah dan mengurangkan kesakitan. Alat ini menggunakan cahaya infrared, kamera digital dan unit pemprosesan gambar untuk membentuk gambaran saluran darah pesakit. Jarum akan disuntik ke dalam saluran darah yang dipandu oleh gambar itu.

7. Flu Chip

Sebelum ini dunia digemparkan dengan wabak pandemik virus influenza A H1N1 yang meragut banyak nyawa. Mangsa terdiri daripada orang dewasa dan juga kanak-kanak menunjukkan simtom-simtom seperti sesak nafas, demam dan selesema. Sekumpulan pengkaji di Universiti Harvard telah mencipta Flu Chip untuk mengesan jangkitan H1N1 ini. Alat ini mengenalpasti sejenis protein iaitu asid ribonuklik (RNA) dan menukarkannnya kepada asid dioksiribonuklik (DNA). Ianya murah dan keputusan dapat diperoleh dengan cepat.

8. ITClamp


Diinspirasikan oleh klip rambut, sekumpulan pakar bedah telah mencipta ITClamp untuk menghentikan pendarahan yang dialami oleh mangsa trauma. Alat ini dapat mengelakkan kematian yang disebabkan oleh pendarahan yang teruk dan digunakan oleh paramedik dalam mengawal kadar kehilangan darah sebelum tiba di hospital. Penggunaannya yang mudah membolehkan sesiapa sahaja memakaikannya kepada mangsa.

9. J!NS PC



Menghadap komputer dalam jangkamasa yang panjang akan membuat mata keletihan dan menyumbang kepada masalah seperti sakit kepala. Sebuah syarikat di Jepun bernama JINS telah menghasilkan kaca mata untuk mengatasi masalah ini. Skrin komputer memancarkan sejenis cahaya yang memberi tekanan kepada mata. Dengan adanya kaca mata ini, ia menghalang 55% cahaya ini dan mengurangkan mata daripada keletihan.

10. DryBath



Siapa tahu suatu hari nanti kita mandi tanpa menggunakan air. Seorang usahawan muda bernama Ludwick Marishane telah mencipta DryBath yang murah, bersih dan senang digunakan sebagai ganti kepada air. Kisah bermula apabila Ludwick ingin membantu rakannya yang malas untuk mandi dan masalah kekurangan air yang dihadapi di negaranya, Afrika. DryBath kini digunakan syarikat penerbangan dan tentera untuk memberi keselesaan.  Penciptaan alat ini membantu masyarakat miskin menyimpan air untuk kegunaan yang lebih penting.

No comments:

Post a Comment